Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat pertama kali menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi menyiasat kes jenayah komersial membabitkan sindiket jenayah terancang dikenali sebagai ‘Heist Syndicate’ (sindiket rompakan) di Sabah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket itu ditumpaskan dan disiasat selepas didapati membuat pengeluaran wang daripada akaun simpanan tetap milik pelanggan bank membabitkan wang berjumlah RM24.2 juta.

Katanya, keputusan untuk menggunakan SOSMA dalam siasatan kes itu dibuat setelah mendapati pelakuan yang dilakukan sindiket adalah jenayah terancang dan serius sehingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

Menurutnya, polis memulakan siasatan ke atas sindiket itu bermula pada 28 Jun lalu dan berakhir pada 22 Julai lepas.

“Tindakan siasatan telah menyaksikan penggemblengan tenaga melibatkan lebih 50 pegawai kanan dan pegawai rendah polis yang bertindak di dalam pasukan-pasukan kecil.

“Ia melibatkan kejituan penyelarasan di semua peringkat dan sinergi setiap pasukan petugas dengan Jabatan Peguam Negara sehingga membawa ke pertuduhan hari ini (Khamis),” katanya dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.

Tambahnya, kejayaan pasukan siasatan sehingga membawa kepada pertuduhan merupakan permulaan kepada dimensi baharu siasatan jenayah komersial.

“Saya yakin, ini juga akan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kejayaan siasatan JSJK pada masa akan datang.

“Saya merakam penghargaan kepada pasukan JSJK Bukit Aman, JSJK Kontinjen Sabah serta Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara atas usaha gigih serta komitmen sepanjang siasatan kes ini dilaksanakan,” ujarnya.

Malah katanya, seramai 10 individu menganggotai sindiket rompakan itu telah dituduh di Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah 9.30 pagi tadi.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh dan mahkamah menetapkan 13 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan kesemua permohonan jaminan mahkamah telah ditolak dan mereka akan ditahan di penjara Kepayan, Kota Kinabalu mengikut Seksyen 259 Kanun Tatacara Jenayah.

Tambah beliau, kesemua mereka dituduh di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan menganggotai suatu kumpulan jenayah terancang yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih daripada 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pertuduhan terhadap mereka diperoleh setelah siasatan berjaya membuktikan kegiatan mereka merupakan satu ancaman yang memudaratkan ketenteraman awam.

Pada Jun lepas, media melaporkan seorang petugas bank ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wang dari akaun simpanan tetap melibatkan kerugian lebih RM24 juta. -MalaysiaGazette