Tertuduh, Mohd Ridzuan Mohd Fauzi, 34, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menakutkan isterinya secara jenayah dengan mengejarnya sambil memegang gunting, Sabtu lalu.

MELAKA – Seorang staf pengurusan jenazah didakwa di Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menakutkan isterinya secara jenayah dengan mengejarnya sambil memegang gunting, Sabtu lalu.

Tertuduh, Mohd Ridzuan Mohd Fauzi, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan dengan niat menakutkan secara jenayah terhadap isterinya, Siti Najira Abdul Sahak, 39, dengan cara mengejarnya sambil memegang sebilah gunting.

Perbuatan itu dilakukan di Pangsapuri Kota Laksamana dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 8.30 malam 20 Julai lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Kejadian itu dikatakan berlaku selepas tertuduh berang terhadap isterinya itu kerana cuai sehingga menyebabkan bayi mereka berusia tiga bulan terjatuh dan menangis.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan tertuduh hanya bekerja di bahagian pengurusan jenazah dan bergaji bulanan RM1,800, perlu menyara isteri dan dua anak yang masih kecil

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Khairunnisak membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 beserta syarat tambahan tidak akan menganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan tarikh 29 Ogos ini sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast