GOMBAK – Naib Canselor Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Prof. Madya. Dr. Sharifah Syahirah Syed Shiekh dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 2024.

Anugerah itu disampaikan Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman sempena Hari Takrim UIAM 2024, di sini, pada Selasa lalu.

“Pengiktirafan ini setanding dengan pencapaian, personaliti dan sumbangan yang pernah beliau berikan bukan sahaja kepada institusi pendidikan tinggi dan masyarakat malahan bidang penyelidikan.

“Beliau sangat aktif dalam penyelidikan berkaitan kepimpinan dan peranan wanita, politik, kenegaraan, Sustainable Development Goals (SDG) dan turut menerima jemputan menjadi pakar rujukan serta panel jemputan media arus perdana,” katanya menerusi kenyataan.

Sharifah Syahirah bergiat aktif dalam pelbagai organisasi dalam dan luar negara, termasuk Majlis Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO) Persatuan Sains Sosial (PSSM).

“Namanya turut tercalon untuk menghadiri Dialogue on Innovative Higher Education Strategies DIES anjuran DAAD dan German Rectors’ Conference yang dihadiri oleh 29 pemimpin dari 29 universiti Asia Tenggara.

“Dedikasi dan sumbangan beliau telah menganugerahkannya pelbagai anugerah seperti Global Pioneering Women Leader Award 2020, Malaysia’s Women Leadership Award in 2019 dan MARA Educator Excellence Award 2016.

“Semoga pengiktirafan ini menjadi aspirasi kepada warga UPTM untuk meningkatkan mutu kerja, penyelidikan dan pengajaran agar memberi manfaat kepada semua,” tambahnya. – MalaysiaGazette