Suspek kes bunuh Nur Farah Kartini dikawal ketat anggota polis bagi menghadapi pertuduhan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, di Mahkamah Kuala Kubu Bharu, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 26 JULAI 2024.

HULU SELANGOR – Anggota polis berpangkat Lans Koperal didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini Abdullah, pada 10 Julai lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan dibuat tertuduh, Muhammad Alif Monjani, 26, di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza kerana ia dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Alif didakwa membunuh Nur Farah Kartini yang berusia 25 tahun merupakan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tertuduh melakukan perbuatan itu pada 10 Julai lalu jam 9 pagi hingga 15 Julai pukul 6 petang di Ladang SKC Kledang, Mukim Hulu Bernam, Hulu Selangor.

Berikutan itu, suspek didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Harun dan Muhammad Azri Zakaria manakala tertuduh diwakili dua peguam, Nur Aida Jaafar Md Zainuddin dan Aida Jaafar Md Ariff.

Terdahulu, tertuduh yang memakai baju berwarna hitam dan bersikat kemas hadir ke mahkamah pada jam 9.05 pagi dengan dikawal ketat anggota polis.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 30 Ogos depan bagi sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen laporan pemeriksaan ujian asid deoksiribonukleidan (DNA) dan laporan telekomunikasi.

Pada 15 Julai, mayat Nur Farah Kartini, ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang.

Penemuan mayat mangsa adalah hasil soal siasat ke atas suspek yang juga kenalan kepada mangsa.

Suspek direman selama tujuh hari bermula 16 Julai hingga 22 Julai sebelum tempoh reman dilanjutkan sehingga 29 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis Perak mengesahkan suspek merupakan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River, Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.

Dalam siasatan terhadap pembunuhan itu, pasukan penyiasat polis melakukan pelbagai operasi mencari dan mengesan bahan bukti di beberapa lokasi sekitar daerah Hulu Selangor dan Muallim dan Slim River di Perak..

Pencarian bahan bukti oleh Unit Forensik Sub Akuatik PDRM di lokasi penemuaan mayat mangsa dan Sungai Trolak, Kampung Batu 4, Trolak, Perak berjaya menemukan beberapa barangan dipercayai milik mangsa.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan kes itu telah selesai, dan perselisihan perhubungan dipercayai adalah punca wanita itu dibunuh. – MalaysiaGazette