KUALA LUMPUR – Hasrat DAP untuk membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bagi memenangkan calon Barisan Nasional (BN) amat dihargai veteran UMNO.
Bagaimanapun, Setiausahanya Datuk Mustapha Yaakub berkata, DAP tidak sesuai untuk berada di Nenggiri kerana tiada masyarakat Cina di kawasan perkampungan Orang Asli.
“Kehadiran mereka tidak sesuai kerana kawasan perkampungan Orang Asli itu tidak ada masyarakat orang Cina.
“Orang Asli adalah orang Melayu dan bercakap Bahasa Melayu dan majoritinya berugama Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mustapha mengulas kenyataan Pengerusi DAP Kelantan, Datuk Azaha Abdul Rani yang berkata jentera parti itu sanggup ‘berkhemah’ di kawasan Orang Asli bagi memastikan PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini menjadi milik BN.
Azaha berkata, tindakan itu membuktikan komitmen mereka dalam memastikan PRK nanti akan berjalan lancar dan Orang Asli keluar mengundi.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, sekiranya jentera DAP ikut turut turun padang membantu maka ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang dikuatiri akan menjejas sokongan dan undi kepada calon BN.
“Ianya juga akan dijadikan isu oleh pembangkang untuk menambah kemarahan kepada UMNO/BN.
“Oleh itu adalah lebih baik jentera DAP tidak turun padang dan mereka boleh membantu dalam bentuk yang lain sebagai menyokong gerak kerja dan kempen UMNO/BN di Nenggiri,” katanya lagi.
Sebelum ini, Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah berkata, DAP tidak perlu hadir berkempen di Nenggiri menjelang PRK di kerusi negeri Kelantan itu, di mana pemimpin veteran itu mengetuai jentera BN dalam PRK yang diadakan lebih sebulan selepas kekalahan teruk kerajaan campuran di PRK Sungai Bakap.
Razaleigh berkata, tidak ada sebab untuk pemimpin parti majoriti Cina itu untuk turun berkempen di kawasan yang “100% Melayu”. – MalaysiaGazette