Antara peralatan dan barang hasil samun yang dicuri empat lelaki selepas pecah masuk rumah 'programmer' pada 10 Julai lalu

KULAI – Seorang ‘programmer’ kerugian kira-kira RM10,000 selepas rumahnya di bandar ini dipecah masuk dalam kejadian pada 10 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 34 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut pada pukul 3.30 petang, 10 Julai lalu.
.
“Kita kemudian berjaya menahan empat lelaki tempatan berusia antara 41 hingga 55 tahun selepas membuat dua serbuan di sekitar Johor Bahru pada pukul 11.20 malam, 12 Julai lalu.

“Kita berjaya merampas pelbagai jenis telefon bimbit dan komputer riba dan tablet yang dipercayai barangan curi selain pakaian lengkap, beg dan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan suspek untuk pecah rumah,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Selain itu kata beliau, polis merampas dua kereta yang mana satu daripadanya masih mempunyai rekod hilang dan beberapa nombor pendaftaran palsu yang disyaki digunakan bagi melakukan kegiatan pecah rumah.

Beliau berkata, polis percaya berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah rumah sekitar Kulai, Pontian dan Seri Alam hasil daripada tangkapan itu.

Katanya, hasil semakan juga mendapati semua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek didapati positif methamphetamine.

Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan bagi kesalahan kedua. – MalaysiaGazette