Dua wanita warga asing ditahan dalam Ops Selera yang dijalankan di di Taman Century dan Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Dua wanita warga Indonesia yang bekerja di sebuah kedai makan cuba melarikan diri daripada diperiksa pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam serbuan di Taman Century di sini semalam.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, mereka bertindak agresif semasa pemeriksaan namun berjaya ditangkap.

Menurutnya, dua wanita berkenaan merupakan antara 29 warga asing yang ditahan dalam Ops Selera yang dijalankan di taman itu dan Kampung Melayu Majidee di sini.

Operasi tersebut bermula pukul 9.30 hingga 10.30 pagi, dijalankan Bahagian Penguatkuasa JIM Johor.

“Tindakan ini dilakukan selepas mendapat aduan berhubung warga asing dipercayai bekerja tanpa pas atau permit yang sah.

“Dalam operasi ini dua premis melibatkan 62 warga asing dan warga tempatan diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mereka yang ditahan melibatkan enam lelaki dan 22 wanita warganegara Indonesia serta seorang lelaki Myanmar berusia antara 25 hingga 54 tahun.

Jelasnya, semua warga asing yang ditahan itu melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah.

Mereka juga disiasat bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa selain Peraturan 17(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas sosial.

“Seorang wanita warga tempatan yang merupakan pemilik restoran di salah sebuah premis ditahan atas kesalahan Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Sebanyak 10 notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JIM Johor mengesan ramai warga asing menyalahgunakan kemudahan dan pas untuk tinggal dan bekerja di negara ini.

JIM tambahnya, tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan serta pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit kerja yang sah.- MalaysiaGazette