Gambar jenama arak terlibat dalam aktiviti sekolah yang mencetuskan kontroversi.

KUALA LUMPUR – Jenama arak Tiger Beer menjelaskan bahawa ia tidak memberikan sebarang wang kepada sekolah Cina di Malaysia.

Menurut jenama minuman beralkohol tersebut, sokongannya terhad kepada menyediakan artis tempatan untuk konsert amal bagi membantu mengumpul dana daripada orang ramai.

Tiger Beer berkata, Konsert Amal Pendidikan Cina (CECC) telah wujud selama 30 tahun dan misi konsert itu adalah untuk menjadi platform bagi masyarakat tempatan untuk membantu mengumpul dana untuk menaik taraf kemudahan di sekolah Cina.

“Sebagai jenama alkohol, kami tidak membuat sebarang sumbangan wang kepada sekolah. Peranan kami dalam CECC adalah semata-mata dalam mempersembahkan artis tempatan untuk konsert yang dianjurkan untuk para penderma.

“Komunikasi dan penglibatan kami dikekalkan di peringkat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dan ahli lembaga pengarah yang mengendalikan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam.

Tiger Beer berkata, setakat ini masyarakat tempatan terpaksa mengumpul lebih RM413 juta melalui platform CECC “tanpa sebarang sumbangan daripada jenama bir itu kepada sekolah.

“Penganjur sentiasa berhati-hati dalam memastikan semua program dan aktiviti yang dianjurkan adalah menghormati sensitiviti agama, budaya dan mematuhi peraturan tempatan,” katanya.

Konsert amal itu telah diadakan sejak 1994, dan satu konsert seumpama itu diadakan di sekolah rendah Cina jenis kebangsaan SJK(C) Tche Min di Sungai Pelek, Sepang di Selangor.

Penglibatan syarikat arak dalam aktiviri sekolah dikritik oleh banyak pihak termasuk pakar pendidikan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong.

Beliau menyifatkan kutipan dana sekolah yang melibatkan sumbangan daripada syarikat arak adalah tidak wajar kerana melanggar moraliti sebagai rakyat Malaysia.

Majlis Ulama UMNO (MUU) Malaysia pula berharap kesilapan Aiman Athirah hadir dalam majlis melibatkan syarikat judi tidak diulangi oleh pemimpin kerajaan lain.

Menurutnya, kehadiran pemimpin kerajaan dalam program melibatkan syarikat judi dan arak boleh memberi isyarat yang salah kepada masyarakat.

Majlis itu menegaskan dana sumbangan daripada syarikat yang terlibat dengan aktiviti yang dikategorikan sebagai memudaratkan seperti arak dan judi tidak wajar dijadikan sumber oleh pusat pendidikan. – MalaysiaGazette