Ahli keluarga Allahyarham Nur Farah Kartini keluar perkarangan mahkamah di Mahkamah Kuala Kubu Bharu, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 26 JULAI 2024.

HULU SELANGOR – Keluarga kepada Nur Farah Kartini Abdullah, melahirkan rasa puas hati apabila tertuduh, Muhammad Alif Monjani, 26, yang didakwa membunuh mangsa didakwa ke mahkamah, hari ini.

Sepupu Nur Farah Kartini, Suzur Sofia Smeth Jaya, 33, berkata, dia bersama adik iparnya hadir mewakili keluarga mangsa bagi prosiding pertuduhan kes di Mahkamah Kuala Kubu Bahru, di sini.

“Positif dan menerima baik (pertuduhan). Insyallah abang Farah akan hadir pada sebutan semula kes 30 Ogos ini.

“Setakat ini berpuas hati keputusan mahkamah. Kita mahu nasib arwah (Nur Farah) terbela dan mahukan keadilan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, anggota polis berpangkat Lans Koperal didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini Abdullah.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Muhammad Alif Monjani, 26, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Alif didakwa membunuh Nur Farah di Ladang SKC, Kledang, Mukim Hulu Bernam si antara pukul 9 pagi 10 Julai hingga pukul 6 petang 15 Julai lalu.

Berikutan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman mati.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes bagi menyerahkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan Telekomunikasi (telco).

Ketika prosiding tertuduh diwakili peguam-peguam Aida Jaafar Mad Ariff dan Nur Aida Md Zainuddin.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 ogos bagi sebutan semula kes. – MalaysiaGazette