Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir Majlis Penutup Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di WTC, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 26 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih tidak berpuas hati kerana kos sara hidup di sesetengah tempat didapati masih menekan kehidupan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, senario itu tidak mengambarkan ekonomi negara yang menunjukkan pertumbuhan positif pada suku kedua tahun ini dan kadar inflasi serta pengangguran rendah.

Jelas beliau, beberapa inisiatif telah diambil untuk membantu rakyat secara langsung dalam mendepani masalah itu.

“Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kita lihat ringgit menguat walaupun diserang bertubi-tubi.

“Pertumbuhan suku tahun kedua adalah 5.8 peratus itu sangat membanggakan. Kita dapat kawal inflasi kepada dua peratus. Dapat kawal pengangguran kepada tiga peratus. Itu angka-angka yang baik.

“Adakah saya berpuas hati? Saya tidak berpuas hati kerana kos sara hidup di sesetengah tempat yang masih menekan kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan akan terus berusaha mencari jalan membantu rakyat antaranya menerusi sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pengumuman sistem saraan baru perkhimatan awam yang bakal menyaksikan kenaikan gaji penjawat awam.

“Sumbangan STR telah memberi manfaat kepada sembilan juta penerima. Jumlahnya RM10 bilion, bukan kecil,” katanya. – MalaysiaGazette