Peguam, Fahmi Abd Moin bercakap kepada media selepas selesai prosiding sebutan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme yang dihadiri anak guamnya Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari ketika di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 26 JULAI 2024.

PETALING JAYA – Polis masih belum mengambil tindakan terhadap laporan yang dibuat keluarga Zayn Rayyan Abdul Matiin berhubung penyebaran siasatan menerusi satu akaun Telegram.

Peguam bela yang mewakili ibu bapa kanak-kanak berkenaan, Fahmi Mohd Moin berkata, setakat ini tiada maklum balas diterima oleh pihaknya.

“Kami telah buat laporan polis berkaitan cerita yang telah dibuat dalam Edisi Sisat tersebut dan gambar-gambar yang dikatakan gambar arwah adik Zayn Rayyan.

“Sehingga kini tidak ada apa-apa maklum balas yang kami terima daripada pihak PDRM sama ada, ada atau tidak siasatan dibuka, sama ada  siasatan dilanjutkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara, kami tidak ada maklumat,” katanya pada sidang media selepas prosiding sebutan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini.

Namun kata beliau, pihaknya akan menilai ketulenan gambar yang dikongsikan oleh akaun tersebut dengan gambar yang diterima daripada laporan bedah siasat.

“(Mengenai) Gambar-gambar tersebut kami tidak membuat laporan kerana kami baru sahaja menerima gambar-gambar bedah siasat pada hari ini dan kami akan berbincang balik dengan anak guam dan keluarga sama ada mahu atau tidak buat laporan kedua berkenaan Edisi Siasat.

“Sebab kami mahu tengok sama ada gambar Edisi Siasat kongsikan itu betul atau tidak,” katanya.

Sebagai rekod, penyebar maklumat dikenali sebagai ‘Edisi Siasat’ mendedahkan informasi kononnya ia ialah hasil keterangan membabitkan ibub bapa kanak-kanak tersebut, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.

Penyebaran dibuat selepas pasangan tersebut dibebaskan daripada reman selama 13 hari yang bermula 1 Jun lalu.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Zayn Rayyan sebelum itu dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis kemudian mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah. – MalaysiaGazette