Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari keluar selepas selesai prosiding sebutan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme ketika di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 26 JULAI 2024.

PETALING JAYA – Peguam, Mahmud Abdul Jumaat kini tidak lagi mewakili ibu kepada kanak-kanak autisme yang ditemui mati, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin pada tahun lalu.

Perkara berkenaan disahkan oleh wakil peguam Hadzwan Ayob kepada Mahkamah Sesyen hari ini.

“Kami menerusi Orang Kena Tuduh (Ismanira Abdul Manaf) telah diarahkan untuk menarik diri mewakili,” katanya.

Dalam pada itu, mahkamah dimaklumkan bahawa kedua-dua tertuduh kini diwakili oleh peguam bela, Ilyani Khuszairy bersama-sama Fahmi Abd Moin.

“Saya difahamkan Ismanira menghantar satu (surat) kepada Eimir Mahmud.co pada 18 Jun 2024 berkaitan penamatan perkhidmatan guaman yang mewakilinya.

“Jadi saya rasa tidak ada isu tarik diri, yang saya faham ditamatkan perkhidmatan,” kata Fahmi.

Selain itu, pasukan pembelaan kedua-dua ibu bapa Zayn hari ini turut memohon supaya nama kanak-kanak itu diubah di dalam kertas pertuduhan. 

Jelas Fahmi,  pindaan nama kanak-kanak autisme itu sebagai Zayn Rayyan Zaim Ikhwan telah disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Pihak kami telah menerima cabutan pihak JPN melalui anak guam Ismanira pada 4 Julai 2024, keputusan pembetulan JPN telah dikeluarkan oleh JPN Selangor nama kanak-kanak itu dibetulkan,” katanya.

Sementara itu, pihak pendakwaan memohon supaya mahkamah  menetapkan tarikh sebutan baharu berikutan pihaknya belum menyerahkan laporan forensik dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Sehubungan itu Hakim, Dr Syahliza Warnoh menetapkan 18 September bagi sebutan baharu.

Terdahulum,  Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira 13 Jun lalu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu pada Disember tahun lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sekitar jalan PJU Damansara Damai pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.-MalaysiaGazette