Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.

MELAKA – Sebagai usaha pemerkasaan berterusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Termaju di Borneo –  Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.

Majlis pemeteraian MoU ini telah ditandatangani oleh pihak UTeM yang diwakili Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin manakala MPOB diwakili oleh Ketua Pengarah, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Massila berkata, kerjasama strategik antara UTeM dan MPOB  akan memperluaskan pendidikan TVET di Borneo khususnya negeri Sabah bagi membangun modal insan berkemahiran tinggi dan memacu pertumbuhan ekonomi setempat.

Kerjasama ini tertumpu kepada beberapa agenda berimpak tinggi terutamanya usaha UTeM berhubung penubuhan Pusat Pembelajaran (Learning Centre) UTeM di MPOB Lahad Datu, Sabah.

Inisiatif penubuhan pusat pembelajaran ini adalah selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi meningkatkan lagi enrolmen pelajar terutama dalam bidang TVET Termaju.

“Ia turut akan membuka laluan bagi lepasan TVET dari Politeknik dan Kolej Vokasional terutamanya di Pantai Timur Sabah untuk melanjutkan pengajian di Pusat Pembelajaran ini nanti.

“Kedudukan logistik Lahad Datu yang strategik serta dikelilingi industri seperti pertanian, pembuatan, pembinaan dan pengangkutan pastinya memerlukan tenaga kerja mahir dan di sinilah graduan UTeM akan menyumbang kembali kepada industri setempat,” ujarnya.

Katanya lagi, bagi memantapkan lagi usaha ini UTeM turut akan menyediakan peluang kepada pelajar di sini untuk mengikuti sijil profesional bagi membangunkan tenaga mahir di negeri Sabah.

“Justeru bagi menjayakan agenda ini pula maka UTeM akan bekerjasama rapat dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang lain.

“Usaha ini dilihat selari dengan hasrat keseluruhan UTeM menyasarkan pertambahan bilangan pelajar dalam bidang TVET seramai 40,000 orang manakala seramai 150,000 pelajar TVET bagi (MTUN),” katanya.

Kembali mengulas intipati kerjasama ini beliau menyatakan, kedua-dua pihak akan menjalankan perkongsian sumber penyelidikan, data teknikal dan kemudahan yang terdapat di UTeM dan MPOB.

“Di samping itu, menjayakan kolaborasi penyelidikan dan penerbitan dalam bidang pengajian yang dipersetujui termasuklah penyeliaan bersama projek penyelidikan pelajar pra-siswazah dan pasca siswazah.

“Pada masa yang sama usaha turut dipelbagaikan dalam konteks dimensi pembangunan modal insan menerusi garapan rangkaian aktiviti bermanfaat luas kepada kedua-dua belah pihak,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, UTeM akan berkongsi kepakaran dimiliki menerusi penerokaan bidang penyelidikan dan pendidikan minyak sawit berintegrasi tinggi secara bersama. – MalaysiaGazette