ahmad fadhli shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyindir Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai isu tajaan syarikat minuman keras kepada sebuah sekolah Cina di Sepang baru-baru ini.

Beliau secara sinis mempersoalkan kenyataan Ahmad Zahid yang berkata, replika cek yang dipersembahkan pada proram tersebut jelas tertera sumbangan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

“Presiden UMNO kata, syarikat arak bukan bagi derma kepada sekolah, dia bagi derma untuk taja konsert sahaja. Tentu Majlis Ulama UMNO setuju dan tiada halangan.

“Tapi dalam replika cek ini tulis sumbangan kepada sekolah, bukan PIBG. Ini satu fitnah kepada Tiger (syarikat arak),” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang menyatakan sumbangan cek kepada SJKC Tche Min di Sepang itu adalah untuk penganjuran konsert amal bukan kepada sekolah berkenaan.

Malah Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, wujud persepsi silap yang mendakwa syarikat arak dan rokok menyalurkan dana kepada sekolah Cina.

Katanya, konsert amal itu dianjurkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dan Lembaga Pengelola Sekolah.

Kelmarin, media melaporkan isu berhubung sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina akan dijawab oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Ahad lalu, kontroversi tercetus apabila konsert amal pendidikan bertujuan membuat kutipan membina dewan sekolah itu yang didirikan sejak 30 tahun lalu didapati turut membabitkan sumbangan dan tajaan sebuah syarikat arak.

Ia bagaimanapun menimbulkan kemarahan beberapa pihak termasuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Beliau dilaporkan menyokong Kementerian Pendidikan (KPM) dan Fadhlina yang melarang sumbangan membabitkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah dan minuman keras terhadap sekolah.

KPM dalam kenyataannya sebelum ini, memaklumkan memandang serius perkara itu dan sedang melakukan siasatan lanjut.

KPM turut mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan di bawahnya supaya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

Surat pekeliling KPM pada 29 Mac 2018 menyatakan sumbangan kepada sekolah-sekolah tidak boleh membabitkan syarikat arak, rokok, judi dan seumpamanya kerana boleh jejaskan potensi murid dari segi rohani, emosi dan jasmani. – MalaysiaGazette