Tangkap layar video tular memaparkan MPV polis mengejar sebuah kereta di Taman Impian Emas, Skudai, Johor Bahru, Rabu lalu

JOHOR BAHRU – Sepasang kekasih ditahan selepas melarikan diri daripada polis dalam kejadian di Taman Impian Emas, Skudai di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kereta peronda (MPV) polis mengejar kereta dipandu suspek lelaki itu bermula di Taman Impian Emas dan melalui beberapa jalan lain di daerah ini.

Beliau berkata, kereta berkenaan kemudian kembali ke Taman Impian Emas dan kedua-duanya berjaya ditahan masing-masing berusia 27 dan 20 tahun.

“Hasil siasatan mendapati pemandu kereta iaitu suspek lelaki melarikan diri daripada pemeriksaan polis yang sedang menjalankan tugas pencegahan jenayah dI Taman Impian Emas, Skudai di sini.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua mereka positif methamphetamine, ” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 17 saat memaparkan insiden enam buah MPV yang sedang mengejar sebuah kereta.

Balveer Singh, ketika kejadian, terdapat seorang kanak-kanak yang juga anak kepada suspek wanita.

Beliau sekali gus menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial mendakwa kes berkenaan adalah kes culik kanak-kanak.

“Bukan kes culik. Anak kepada wanita itu. Tiada sebarang kecederaan dalam kes ini,” jelasnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menggalang penjawat awam daripada menjalankan tugas rasmi jawatannya dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah Balveer, pihaknya menerima laporan polis daripada orang awam pukul 11.20 malam Rabu lalu berhubung kejadian itu.- MalaysiaGazette