Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng didesak agar tidak menyibuk dalam tugas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung berhubung isu kutipan dana pendidikan Cina.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pemimpin DAP itu jelas mempamerkan sikap ‘abang besar’ dalam Pakatan Harapan (PH).

Malah katanya, Pas tidak terkejut dengan kenyataan bersifat amaran Guan Eng agar Fadhlina tidak berpendirian seiring dengan Pas dan Pemuda UMNO dalam isu kutipan dana pendidikan Cina.

“Segala kenyataan dan dasar yang ditetapkan oleh DAP seolah menjadi dasar yang harus diikuti oleh Kerajaan PH-BN.

“Malahan kenyataan ini seakan terbukti kebenarannya apabila Kabinet membuat keputusan yang senada dengan kenyataan-kenyataan DAP berhubung isu sumbangan hasil arak kepada institusi pendidikan.

“Ia bertentangan dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018 yang jelas melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Guan Eng mengingatkan Fadhlina supaya tidak berpendirian seiring dengan Pas dan Pemuda UMNO dalam isu kutipan dana pendidikan Cina dan menegaskan dia bukan “menteri pendidikan Pas”.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata adakah Guan Eng ingin mengajar Fadhlina bahawa mempromosikan arak di kawasan sekolah adalah perbuatan baik kepada murid walaupun murid bukan beragama Islam?

“Adakah Guan Eng mahu anak-anak ini dinormalisasikan dengan arak di perkarangan sekolah? Sepatutnya Guan Eng menyokong YB Menteri Pendidikan yang cuba menjauhkan arak dalam kalangan pelajar sekolah.

“Guan Eng tidak perlu mengajar YB Menteri Pendidikan cara bekerja, sedangkan ketika beliau menjadi Menteri pun (beliau) gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik. Kepada pemimpin UMNO yang masih berada di dalam Kerajaan, adakah budaya seperti ini yang akan terus disokong?, soal Tuan Ibrahim lagi.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.

Garis panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah, selain penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast