GOMBAK – Program Komuniti Desa (PKD) Mobile yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bukanlah satu program yang hanya diadakan sekadar ‘melepas batuk ditangga’.
Sebaliknya, ia merupakan satu program penting dan boleh menjadi tempat rujukan bagi semua rakyat di bandar dan desa serta seluruh pelusuk tanahair, kata Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
“Atas apa yang dilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri supaya KKDW bukan hanya berperanan di dalam kampung atau desa tapi dalam masa yang sama kita juga berperanan di bandar agar kehadiran KKDW ini dapat dirasai oleh masyarakat secara keseluruhan
“Kita sangat serius. Benda ini bukan sesuatu benda yang kita anggap hanya program untuk mengisi atau melepaskan batuk di tangga tetapi ia sebagai satu program yang penting agar ianya menjadi tempat rujukan bagi semua rakyat,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Mini Komuniti Desa (PKD) Mobile Negeri Selangor Tahun 2024, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain berkata, sebanyak 191 buah PKD telah pun diwujudkan seluruh negara dengan sembilan daripadanya dibangunkan di Selangor.
Jelasnya, penubuhan PKD itu telahpun diilhamkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
“KKD perlu keluar dengan seluruh agensi untuk mendekati masyarakat bagi menyampaikan maklumat dan perkara-perkara yang boleh dibantu oleh KKDW,” ujarnya.
Program Komuniti Desa (PKD) Mobile adalah satu langkah kanan yang sangat bertepatan dengan usaha kerajaan mendekatkan perkhidmatan dan menyalurkan maklumat kepada masyarakat desa.
Melalui PKD Mobile, kerajaan dapat menyalurkan bantuan dan maklumat terus kepada orang ramai melalui perkhidmatan daripada Agensi/Jabatan dan pihak swasta.
Menerusi program ini juga, Aspirasi Desa Madani dilihat turut mampu dicapai dengan cara memperkasa Kemahiran dan Pengetahuan (K) melalui maklumat dan info daripada agensi yang terlibat bersama penduduk desa dalam program PKD-Mobile tersebut. – MalaysiaGazette