Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi dan menyerahkan sumbangan kepada Mohd. Nuramin Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi sumbangan kepada pengawal keselamatan Kompleks Seri Perdana yang terlibat kemalangan baru-baru ini.

Menerusi hantaran terbaharunya di Facebook, Anwar berkata, sumbangan kepada Mohd Nuramin itu diserahkan oleh wakilnya yang juga Setiausaha Politik beliau, Ahmad Farhan Fauzi.

“Beliau mengalami kecederaan serius akibat nahas itu dan perlu menjalani beberapa prosedur pembedahan. Alhamdulillah, saya dimaklumkan saudara Mohd Nuramin kini beransur pulih.

“Dalam kunjungan ini, saudara Farhan turut menyerahkan sumbangan bagi pihak saya untuk meringankan beban kos perubatan dan urusan seharian keluarganya,” katanya.

Anwar turut mendoakan Nuramin diberikan kesembuhan segera dan sekali gus dapat kembali bertugas seperti biasa.-MalaysiaGazette