Setiausaha Politik, Datuk Megat Zulkarnain Tan Seri Omardin bercakap pada media berkenaan Program Mini PKD Mobile Negeri Selangor 2024 di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin di Batu Caves, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 27 JULAI 2024.

GOMBAK – UMNO perlu memikirkan keberadaannya di dalam Kerajaan Perpaduan dengan perlu memainkan peranan sebaik mungkin.

Justeru, pendapat agar DAP tidak turun atau menjauhi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, bulan depan hanyalah bersifat pandangan peribadi, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Menurutnya, beliau tidak terfikir DAP akan tersinggung dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh segelintir pihak di dalam UMNO berhubung perkara itu.

“Tetapi yang lebih utama adalah bagaimana semua parti dalam Kerajaan Perpaduan boleh memainkan peranan.

“Kita jangan lupa semasa kita bertanding di Pelangai saya masih ingat dengan jelas bagaimana DAP memainkan peranan di PDM (Pusat Daerah Mengaundi) Sekolah Jenis Kebangsaan cina (SJKC) Telemong dan di PDM itu hanya DAP sahaja yang turun dan bekerja.

“…Dan akhirnya kita menang besar 98 peratus undi dalam PDM itu dimenangi oleh calon UMNO dan Barisan Nasional, YB Datuk Datuk Amizar Abu Adam.

“Jadi, kita kena fikir keberadaan kita hari ini dalam Kerajaan Perpaduan soal nanti mereka datang atau tidak itu perkara yang kedua, tetapi pada kita di peringkat Kerajaan Perpaduan kita mengalu-alukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program Mini Komuniti Desa (PKD) Mobile Negeri Selangor Tahun 2024, di sini hari ini.

Megat Zulkarnain ditanya wartawan mengenai gesaan Kelab Veteran UMNO yang secara terbuka meminta agar pemimpin DAP mengelak daripada menyertai kempen PRK DUN Nenggiri.

Setiausaha kelab itu, Datuk Mustapha Yaakub, mengakui hasrat DAP untuk membantu Barisan Nasional (BN) menerusi calon UMNO mendapatkan sokongan Orang Asli tetapi berhujah bahawa parti itu tidak akan berkesan memandangkan Orang Asli di Nenggiri adalah ‘Bumiputera Islam berbahasa Melayu.’

Beliau juga memberi amaran bahawa kehadiran DAP mungkin mengelirukan pengundi dan dieksploitasi pembangkang, yang berpotensi memudaratkan kempen BN.

Mengulas lanjut Megat Zulkarnain berkata, beliau yakin DAP tahu memainkan peranannya di kawasan-kawasan tertentu di DUN berkenaan yang boleh dimasuki oleh mereka untuk membantu memenangkan calon Kerajaan Perpaduan.

Katanya, perkara itu sama juga berlaku ketika UMNO membantu DAP berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu yang lalu.

“Jadi, saya percaya takkan dia (DAP) masuk ke PDM-PDM yang tiada pengundi bukan Melayu.

“Saya fikir dalam keadaan sekarang ini kita bergerak terus dan yang penting bagaimana kita nak dapat seberapa banyak undi yang boleh memenagkan calon kerajan perpaduan di Nenggiri,” ujarnya yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor. – MalaysiaGazette