KUALA LUMPUR – Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah tidak perlu menghalang DAP daripada turun berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Kelantan.
Sumber DAP berkata Tengku Razaleigh juga tidak seharusnya angkuh kerana beliau juga ditolak pengundi Melayu semasa memimpin jentera Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Kelantan Ogos tahun lalu.
“Kalau DAP tak sama-sama membantu, Barisan Nasional (BN) tidak akan menang besar di DUN Galas (semasa Pilihan Raya Negeri Kelantan).
“Kalau Ku Li (Tengku Razaleigh) rasa Melayu bersama dengan dia kenapa masa PRU-15 dia kalah dengan calon PN yang tidak dikenali ramai,” soalnya.
Pada PRN Kelantan, DUN Galas dimenangi oleh calon BN, Mohd Syahbuddin Hashim juga penyandang kerusi berkenaan.
Mohd Syahbuddin memperolehi 10,742 undi dengan majoriti 3,337 undi mengalahkan calon Pas Mohd Tarmizi Abdul Rahman (7,405 undi).
Sumber itu mengulas kenyataan Tengku Razaleigh yang berkata, DAP tidak perlu hadir berkempen di PRK Neggiri susulan kekalahan teruk Kerajaan Perpaduan pada PRK Sungai Bakap, 6 Julai lalu.
Tengku Razaleigh yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO bagi PRK DUN Nenggiri berkata tidak ada sebab untuk pemimpin parti majoriti Cina itu untuk turun berkempen di kawasan yang “100% Melayu”.
Mengulas mengenai itu, sumber berkenaan berkata, dakwaan bahawa pemimpin DAP tidak fasih berbahasa Melayu dan ucapan mereka hanya berpaksa kepada masyarakat Cina sahaja adalah berat sebelah.
Katanya, pemimpin veteran UMNO itu perlu tahu bahawa ada rakan-rakan UMNO sendiri ada yang tidak fasih berbahasa Melayu.
“Mengapa Ku Li tak halang MCA dan MIC untuk membantu (PRK DUN Neggiri)? kerana ada juga dalam kalangan ahli dan pemimpin MCA dan MIC tak lancar bercakap Bahasa Melayu,” katanya lagi.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Kelantan, Datuk Azaha Abdul Rani berkata jentera parti itu sanggup ‘berkhemah’ di kawasan Orang Asli bagi memastikan PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini menjadi milik BN.
Azaha berkata, tindakan itu membuktikan komitmen mereka dalam memastikan PRK nanti akan berjalan lancar dan Orang Asli keluar mengundi.-MalaysiaGazette