Dr. Maszlee Malik
Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengkiritik Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berhubung isu promosi syarikat arak di dalam acara melibatkan sekolah.

Maszlee berkata, Guan Eng tidak perlu melihat isu promosi arak di dalam acara melibatkan sekolah daripada sudut politik, agama mahupun perkauman sahaja.

Jelas Mazlee, ia berkaitan isu kesihatan, isu kesejahteraan hidup dan juga sivik.

“Apa yang dilakukan oleh Menteri Pendidikan adalah selari dengan keputusan Kabinet, falsafah pendidikan kebangsaan, pekeliling KPM sedia ada dan semangat MADANI yang dibawa oleh kerajaan perpaduan, iaitu mempromosikan gaya hidup sihat dalam pendidikan.

“Membenarkan syarikat arak dipromosikan secara besar-besaran di dalam acara melibatkan sekolah adalah tindakan membuka kotak Pandora untuk membenarkan industri tidak sihat lain untuk dipromosikan di dalam ranah pendidikan seperti industri tembakau, industri Vape, industri perjudian dan hiburan kelab malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Maszlee berkata demikian mengulas kenyataan Guan Eng yang menegur Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung isu kutipan dana pendidikan Cina.

Guan Eng berkata, Fadhlina tidak berpendirian seiring dengan Pas dan Pemuda UMNO dalam isu kutipan dana pendidikan Cina.

Dalam pada itu, Maszlee berkata, Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Atirah Sabu perlu bertanggungjawab dengan kontroversi selepas syarikat arak, Tiger Beer menjadi salah satu penajanya.

“Ianya adalah insiden yang memalukan dan menjatuhkan imej parti Amanah yang beliau wakili dan juga rakyat parlimen Sepang yang telah memilih beliau.

“Islam rahmah yang dibawa oleh parti Amanah tidak pernah sekali-kali bermaksud menghalalkan arak dalam acara sekolah.

“Sewajarnya jika beliau mempunyai maruah dan integriti, beliau meletakkan jawatan secara sukarela sebagai Ahli Parlimen secara terhormat dan juga meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita Amanah.

“Ia akan menjadi pengajaran kepada Ahli Parlimen Amanah yang lain agar lebih teliti, berhati-hati dan menjunjung prinsip Rahmah yang sebenar,” katanya.

Ahad lalu, Aiman Atirah menghadiri satu acara anjuran Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tche Min di Sungai Pelek, Sepang.

Terdahulu, media melaporkan Aiman Athirah mengambil maklum mengenai gambar tular di media sosial memaparkan beliau bersama individu lain dengan sebuah replika cek sumbangan syarikat arak berjumlah RM3 juta.

Katanya, Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) itu menjemput semua penyumbang termasuk beliau yang menyumbang sejumlah dana.

Aiman Athirah dilaporkan berkata, beliau hadir ke program itu bagi memberi sokongan kepada pihak sekolah mengumpul dana membina dewan bagi keselesaan murid dan tidak mempunyai niat lain. – MalaysiaGazette