MELAKA – Polis menahan seorang lelaki warga emas bagi membantu siasatan atas dakwaan memukul dan mengugut jirannya berpunca daripada bunyi bising dan bau masakan yang masuk ke rumahnya, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lelaki berusia 63 tahun itu ditahan berhampiran rumahnya di Taman Bertam Jaya di sini kira-kira pukul 11.15 pagi.
“Selepas keterangannya diambil, warga emas itu dibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah,” katanya hari ini.
Sementara itu menurut sumber, warga emas itu ditahan selepas polis menerima aduan daripada jirannya lelaki berusia 48 tahun mendakwa suspek telah memasuki rumahnya kira-kira pukul 7.30 pagi Khamis lalu.
“Suspek kemudian dikatakan telah memukul adik perempuan pengadu menggunakan tangan dengan alasan adiknya membuat bising ketika memasak selain bau masakan masuk ke rumahnya.
“Pengadu turut mendakwa dipukul ketika bergelut untuk mempertahankan adiknya itu menyebabkan dia mengalami luka di kaki selain adiknya sakit di belakang kepala,” katanya.
Warga emas itu yang dihalang jiran-jirannya daripada bertindak lebih agresif didakwa turut mengugut mahu mengambil parang untuk memotong pengadu dan adiknya itu,” katanya. – MalaysiaGazette