Maritim Malaysia menamatkan operasi pencarian seorang nelayan yang terjatuh di perairan Pulau Tioman pada 7.30 petang semalam

KUANTAN – Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) seorang nelayan tempatan yang dikhuatiri terjatuh dari bot berhampiran Pulau Tioman, ditamatkan.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan berkata, pencarian selama tiga hari itu tidak menemukan sebarang petunjuk.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, Maritim Malaysia akan terus melaksanakan tugas operasi seperti biasa di sekitar kawasan kejadian dan jika terdapat sebarang tanda penemuan mangsa, pemakluman akan dibuat oleh agensi.

”Hasil penilaian sepanjang tiga hari Op Carilamat mendapati tiada sebarang tanda penemuan mangsa dan ditamatkan pada 7.30 petang semalam.

”Jumlah keseluruhan keluasan sektor pencarian Op Carilamat sehingga semalam adalah berjumlah 598.39 batu nautika persegi,” katanya.

Terdahulu, mangsa dikenali sebagai Heng Jooi Hwa, 58, warga tempatan berasal dari Endau, Johor dilihat kali terakhir 7 petang Selasa lalu.

Mangsa merupakan salah seorang kru bot nelayan tersebut dan selepas menyedari mangsa tiada di bot, semua kru kapal membuat pencarian namun gagal dijumpai.

Menurutnya antara agensi sahabat yang terlibat pada operasi kali ini ialah daripada aset laut Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Zon Maritim Kemaman serta syarikat Ramform Sovereign yang memberikan kerjasama yang baik dalam OP CARILAMAT itu

Selain itu, komuniti maritim sekitar turut dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa dan diminta memaklumkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang maklumat.

Maritim Malaysia turut menyeru semua komuniti maritim agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan semasa menjalankan aktiviti di laut termasuk memakai jaket keselamatan, memastikan bot dalam keadaan baik dan menggunakan peranti Personal Locator Beacon (PLB).

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasandi laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast