Ahmad Zahid menyampaikan bantuan kepada penerima selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Mersing di Dewan Jubli Intan, di Mersing hari ini.

MERSING – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO menghormati gesaan Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah agar DAP tidak turun berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Menurutnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), gesaan tersebut perlu disantuni dan tidak berhasrat untuk mengguris perasaaan mana-mana parti politik.

“Kita menghormati pandangan Tengku Razaleigh jika ada parti-parti politik dalam komponen yang berhasrat untuk membantu PRK di negeri supaya tidak datang untuk membantu kerana jumlah pengundian sesuatu etnik itu kecil.

“Maka pandangan itu harus disantuni dengan tidak berhasrat untuk mengguris perasaan mana-mana parti politik yang berhasrat membantu dan saya yakin oleh kerana Tengku Razaleigh adalah ahli politik veteran dan beliau berada di Gua Musang sejak berdekad lama, jadi kita menghormati pandangan itu,” katanya.

Beliau bekrata demikian dalam sidang akhbar merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Mersing di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li meminta DAP tidak perlu hadir berkempen dalam PRK DUN Nenggiri.

Razaleigh berkata tidak ada sebab untuk pemimpin parti majoriti Cina itu untuk turun berkempen di kawasan yang 100 peratus Melayu.

Ditanya mengenai sekolah rintis Johor yang akan diperkenalkan bermula tahun depan, Ahmad Zahid menyifatkannya sebagai satu program yang bagus.

“Walaupun saya memahami ianya di bawah kerajaan negeri tetapi saya yakin dengan program yang bagus ini dan harus mendapat dukungan kerajaan Persekutuan dan saya secara peribadi memberikan sokongan terhadap pelaksanaan skim pembelajaran ini,” ujarnya.

Hari ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan berkenaan sekolah tersebut bertujuan menyediakan pendidikan Bangsa Johor yang lebih maju dan berdaya saing pada masa depan.

Onn Hafiz berkata, menerusi kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor, sekolah rintis itu juga sebagai usaha memberikan pendidikan yang berkualiti dengan tumpuan khusus akan diberikan terhadap penguasaan Sains, Teknologi, Kejuteraan Matematik (STEM) dan Bahasa Inggeris.

“Sebagai permulaan, ia akan melibatkan dua sekolah rendah dan dua sekolah menengah yang sedang ditentukan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

“Semoga apa yang dirancang ini akan membuahkan hasil yang baik demi masa depan Johor. Sama-sama kita doakan,” ujar Onn Hafiz. – MalaysiaGazette