KUALA LUMPUR – Rakyat mahukan pemimpin UMNO yang mengambil peduli isu mereka dan mempunyai visi untuk anak-anak mereka, bukannya pemimpin yang muflis idea.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, rakyat juga sudah muak melihat pemimpin yang sibuk berpolitik sepanjang masa.
“Tapi masih ada segelintir pemimpin kita yang cakap perkara-perkara remeh.
“Hentam sesama sendiri, cakap pasal agenda peribadi. Ini cakap-cakap orang tandus idea,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong, semalam.
Menurut beliau, UMNO perlu membuktikan kepada rakyat parti itu mempunyai idea-idea segar untuk menjaga kebajikan rakyat, meningkatkan ekonomi negara dan menjamin masa depan anak-anak mereka.
“Barulah rakyat akan kembali percaya kepada UMNO!
Mampukah kita lakukannya? Saya yakin boleh. Dan kalau pemimpin tak nak berubah, ahli-ahli UMNO wajib tegur demi kebaikan parti keramat kita!” katanya. – MalaysiaGazette