Kompleks Mahkamah Kota Bharu

KUALA LUMPUR – Seorang penoreh getah mengaku tidak salah merogol anak kandung perempuannya yang berusia 14 tahun di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Tertuduh yang juga bapa kepada tiga orang anak itu juga didakwa telah melakukan kesalahan amang seksual terhadap anaknya itu.

Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zulkifli Abllah, tertuduh, 44, mendakwa dia dengan tidak sengaja melakukan perbuatan rogol dan melakukan perbuatan amang seksual bukan fizikal terhadap anaknya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu dituduh merogol anak kandungnya ketika kejadian pada 21 Julai lalu sekitar 5 pagi, dan jika sabit salah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 sebatan maksimum mengikut Seksyen 376 (3).

Bagi tuduhan kedua, tertuduh telah didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa sama yang jika sabit salah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 15(C) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Difahamkan juga, tertuduh cuba memohon untuk jaminan dengan alasan tidak sengaja melakukan perbuatan itu namun tidak dibenarkan mahkamah.

Hakim menetapkan 28 Ogos depan untuk sebutan semula. –  MalaysiaGazette