Hussin menunjukkan Ketua Geng Potek bersama-sama teman wanitanya selepas melakukan serbuan di sebuah rumah usang di Sungai Papan, Kota Tinggi, Rabu lalu

KOTA TINGGI – Polis menumpaskan Geng Potek selepas menahan lapan individu termasuk ketua dan tiga anak saudaranya serta merampas pelbagai dadah selepas menyerbu sebuah rumah usang di Sungai Papan di sini Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kota Tinggi melakukan serbuan pada pukul 3.40 pagi di rumah papan itu yang berada di tepi muara sungai.

“Menerusi serbuan tersebut pihak polis menahan tujuh lelaki tempatan berusia 19 sehingga 51 tahun dan seorang wanita berusia 22 tahun. Tangkapan termasuk ketua geng ini berusia 51 tahun bersama-sama teman wanitanya yang berusia 22 tahun.

“Mereka yang ditahan itu termasuk tiga lelaki yang merupakan adik beradik masing-masing berusia 19, 23 dan 25 tahun. Kita turut merampas beberapa jenis dadah dengan berat hampir 1 kilogram yang boleh digunakan 6,000 penagih.

“Ini melibatkan 415.25 gram ketulan heroin, 123.46 gram ketulan kristal methamphetamine, 8.27 pil eramin 5, 225.49 gram pil ekstasi, 1.12 gram ketamine dan 5.47 gram ganja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di sini hari ini.

 

Hussin menunjukkan kereta milik suspek yang disita selepas melakukan serbuan di sebuah rumah usang di Sungai Papan, Kota Tinggi, Rabu lalu

Pihaknya turut menyita dua kereta dan sebuah motosikal milik suspek selain merampas wang tunai berjumlah RM5,023.

Beliau memberitahu, nilai dadah berkenaan berjumlah RM54,550 dan tiga kenderaan tersebut RM25,000 manakala jumlah keseluruhan dadah dan sitaan RM84,573.

Hussin berkata, modus operandi geng tersebut adalah dengan menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan terutama di kawasan Felda.

Jelasnya, kegiatan geng berkenaan aktif sejak Mei lalu dan pihaknya percaya masih ada lagi anggotanya yang masih bebas.

“Rumah papan kosong didirikan ahli sindiket untuk bungkus dadah dan hisap dadah. Maklumat awam dan risikan dilakukan sejak dua bulan lalu.

“Mereka bungkus menggunakan plastik serupa makanan ringan, dadah. Kita percaya ada lagi rangkaian mereka,” ujar beliau.

Hussin menunjukkan dadah dan wang tunai yang dirampas selepas melakukan serbuan di sebuah rumah usang di Sungai Papan, Kota Tinggi, Rabu lalu

Hussin menambah, hasil saringan air kencing mendapati tujuh suspek positif dadah jenis methamphetamine dan siasatan mendapati lima daripadanya mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Semua suspek katanya, direman selama tujuh hari bermula 24 hingga 30 Julai ini untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sejak 1 Januari sehingga 27 Julai lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Tinggi menangkap 982 orang atas pelbagai kesalahan dadah.

“Salam tempoh sama kita telah berjaya merampas dadah sebanyak 17.324 kilogram. Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM591,150 dan sitaan berjumlah RM223,017,” katanya. – MalaysiaGazette