KOTA KINABALU – Bekalan air di kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk menampung keperluan pelajar sedia ada dan pelajar baharu sesi kemasukan 2024/2025 yang dijangka akan mula mendaftar awal Oktober ini.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan rekod bacaan air harian yang dilakukan oleh JabatanPembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) UMS mendapati bekalan air terawatt daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) stabil dan mencukupi ketika ini.
“Trend bekalan air JANS yang diperoleh UMS dari bulan Januari 2024 semakin meningkat berbanding sebelumnya, dan terkini pada tahap stabil, konsisten dan mencukupi iaitu pada purata 5 juta liter sehari (MLD).
“Projek pembinaan telaga tiub menerusi dana peruntukan yang disalurkan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pendidikan Tinggi juga telah siap sepenuhnya dan berfungsi dengan baik,” katanya.
Menurut beliau, bekalan air telaga tiub ini merupakan bekalan air alternatif bagi mengurangkan impak kepada para pelajar sekiranya terdapat gangguan bekalan air JANS akibat kerja-kerja penyelenggaraan terancang, berjadual atau berlaku insiden yang tidak dapat dielakkan.
“Berdasarkan perkembangan bekalan air daripada JANS yang stabil dan konsisten, serta bekalan air alternatif telaga tiub yang telah siap dan
berjalan dengan lancar, maka UMS pada ketika ini tidak mempunyai sebarang isu bekalan air.
Untuk rekod, populasi terkini di dalam kampus induk UMS yang mempunyai keluasan sekitar 999 ekar dengan kawasan yang telah dibangunkan sekitar 70% adalah mencecah 20,000 orang sehari.
Dengan populasi tersebut, keperluan air dalam kampus induk UMS adalah sekitar 3MLD ke 5MLD sehari.
Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan yang responsif dengan sebarang keperluan university ini.
UMS mengalami masalah bekalan air sejak bertahun-tahun kerana kekurangan bekalan dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong di Tuaran.
Bekalan air yang tidak cukup serta tekanan air yang rendah di dalam tangki besar yang menyebabkan air tidak dapat dipam dan disalurkan ke paip-paip sekitarnya.
Kawasan Parlimen Sepanggar, termasuk UMS paling terjejas akibat kekurangan bekalan air yang dihadapi di kawasan utara bandar raya Kota Kinabalu berikutan kedudukannya di hujung sistem paip air yang bermula dari LRA Telibong.
Sejak 2021, UMS membelanjakan jutaan ringgit dalam mengurangkan gangguan bekalan seperti membeli air, memperbaiki tangki dan pam serta pengambilan air bawah tanah.
Masalah air yang meruncing mendorong para pelajar melakukan demonstrasi mendesak isu tersebut ditangani segera.
Tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan RM3 juta kepada UMS untuk mengatasi isu air dan menambah peruntukan itu sebanyak RM2 juta lagi tahun ini. – MalaysiaGazette