Keadaan di sekitar Pasar Keramat, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengenal pasti kerosakan di Pasar Datuk Keramat bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan serta baik pulih dapat diambil tindakan segera.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh berkata, DBKL juga akan menjalankan kerja- kerja pembersihan di dalam pasar tersebut dalam masa terdekat.

Menurutnya, DBKL akan menyelaras satu sesi libat urus dan bancian bersama peniaga – peniaga Pasar Datuk Keramat.

Perkara- perkara yang akan dimaklumkan termasuk mengenai proses permohonan lesen baru, kadar sewa dan pengoperasian pasar di masa akan datang.

“Berdasarkan semakan di tapak, dianggarkan terdapat 300 peniaga di Pasar Datuk Keramat melibatkan pelbagai jenis jualan barangan basah, runcit dan gerai makan.

“Di samping itu, terdapat 50 penjaja di dalam bangunan bersebelahan yang telah dibina bagi menggantikan tapak lama Pasar Datuk Keramat yang terbakar sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Petugas Alam Flora Shd Bhd melakukan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi di Pasar Datuk Keramat.

Beliau berkata demikian bagi merujuk arahan Perdana Menteri kepada DBKL untuk membaikpulih Pasar Datuk Keramat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat lawatan mengejut di pasar berkenaan baru-baru ini menggesa DBKL untuk menyelesaikan kemelut pembangunan semula Pasar Datuk Keramat yang dilihat daif dan sudah tertangguh sejak enam tahun lalu.

Menurut perdana menteri berkata, masalah di Pasar Datuk Keramat berlaku apabila DBKL memberikan kawasan itu kepada syarikat pemaju untuk menaik taraf pasar berkenaan, namun ia gagal dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Jadi, saya fikir perlu ambil perhatian terhadap Pasar Datuk Keramat kerana keadaannya yang sangat daif,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula mendakwa, syarikat pemaju yang telah dilantik gagal melaksanakan projek naik taraf pasar berkenaan.

Katanya, apabila syarikat pemaju tidak melaksanakan projek itu, pihak DBKL tidak boleh meneruskan projek berkenaan disebabkan syarikat pemaju sudah membayar kira-kira 10 peratus nilai tanah di kawasan pasar terbabit.

“DBKL sebelum ini menjual tanah di kawasan itu kepada syarikat pemaju yang mahu membangunkan pasar berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette