Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat oleh Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada 28 Julai 2024. Foto: Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Malaysia telah menghantar surat permohonan penyertaan kepada Rusia selaku pengerusi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima kunjungan hormat Menteri Luar Rusia hari ini berkata, penyertaan Malaysia dalam gabungan BRICS menjadi antara inti pati Utama perbincangannya dengan Sergey Lavrov.

Lavrov kini dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula semalam.

“Kami menyentuh aspek pengukuhan kerjasama dua hala, dan Malaysia menegaskan agar hubungan sedia ada dipertingkat dan diperkukuh terutama dalam sektor pelaburan dan perdagangan, sains dan teknologi, pertanian, pertahanan dan ketenteraan, pendidikan serta pelancongan dan budaya,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Perbincangan turut memberi penekanan berkaitan isu sejagat melibatkan situasi terkini di Palestin.

Malaysia dan Rusia menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata secara kekal, bantuan kemanusiaan segera selain negara Palestin diperaku sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Berkenaan Ukraine pula, Malaysia menyeru agar dialog dan perbincangan menjadi jalan keluar kepada konflik ini. – MalaysiaGazette