ALOR SETAR – Seorang remaja lelaki yang dihanyutkan arus ketika cuba menyelamatkan adik perempuannya, dalam kejadian di Pantai Cenang, Langkawi semalam telah ditemukan lemas.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata mayat Muhammad Izzham Hakimie Azizi, 15, ditemukan pada pukul 10 pagi berhampiran Kuala Cenang, kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Cenang dan identitinya disahkan oleh ayah mangsa. Pengesahan kematian telah dilakukan pihak Unit Kecemasan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dan dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat.
“Bedah siasat dijangka akan dilakukan pada pukul 2 petang…Operasi ditamatkan pada pukul 10.45 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Bernama melaporkan mangsa datang ke Pantai Cenang bersama abang ipar, kakak dan adik perempuan serta lima lagi rakannya, untuk menyambut hari lahir adiknya sebelum turun ke pantai untuk mandi.
Mangsa dipercayai cuba menyelamatkan adik perempuannya yang berusia 14 tahun yang juga hampir lemas, bagaimanapun adik mangsa serta dua rakan lelaki mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam manakala mangsa hilang.
Sementara itu, Ketua Bomba Zon Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abd Ghani berkata operasi yang ditangguhkan pada pukul 7.30 malam semalam, telah disambung pada pukul 8.40 pagi tadi sebelum mayat mangsa ditemukan oleh pasukan bomba dan bot nelayan tempatan. – BERNAMA