Foto X Ulsan HD FC

KUALA LUMPUR – Juara Liga Korea, Ulsan HD FC  mengumumkan Kim Pan Gon sebagai pengendali kelab tersebut bagi menghadapi musim baharu menggantikan Hong Myung-bo yang dilantik Ketua Jurulatih Korea Selatan .

Sebelum ini, Pan Gon, 55,  telah meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya sekaligus menguatkan lagi khabar angin mengenai destinasinya ke K-League.

Khidmatnya diperlukan oleh Ulsan HD berdasarkan pengalaman luas di pentas antarabangsa kerana kelab tersebut bakal mengharungi saingan AFC Champions League Elite (ACLE) musim ini.

Kelab itu bukan asing bagi Pan Gon kerana dia pernah beraksi sebagai pemain pada tahun 1992 hingga 1996 sebelum berhijrah ke Hong Kong menyertai Rangers pada 2004.

“Kali pertama dalam Liga Korea, saya kini pengurus rasmi. Saya rasa seperti telah kembali selepas mengharungi perjalanan yang jauh. Saya ingin menunjukkan sesuatu kepada peminat Korea,” katanya dalam kenyataan rasmi Ulsan HD.

Ulsan HD atau nama lamanya, Ulsan Hyundai FC merupakan juara K-League sebanyak empat kali dan pernah menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat kumpulan saingan ACL.

Pan Gon juga memiliki pengalaman melatih dua kelab Korea, Busan I’Park dan Gyeongnam FC dan kemudian mendapat tawaran menjadi pengurus South China AA (Hong Kong), skuad B-23 Hong Kong dan skuad kebangsaan Hong Kong. – Agensi