Sebahagian daripada 48 PATI yang ditahan dalam operasi bersepadu sekitar premis perniagaan di bandar Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba melarikan diri bagi mengelak ditahan dalam operasi di 30 buah premis di daerah ini hari ini.

Bagaimanapun cubaan mereka gagal dan seramai 48 orang ditahan pihak berkuasa dalam Operasi Bersepadu Khas PATI selama tiga jam bermula pukul 11 pagi tadi.

Operasi tersebut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT).

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya memeriksa 135 individu dan daripada jumlah itu 48 warga asing ditahan.

Hussin memeriksa warga asing ketika Operasi Bersepadu PATI di sebuah pasar raya di Kota Tinggi, hari ini.

“Seramai 48 warga asing itu termasuk wanita terdiri daripada warga Pakistan, Bangladesh, India, Myanmar dan Indonesia yang berusia antara 25 hingga 52 tahun.

“Mereka yang ditahan ada yang bekerja di premis-premis perniagaan dalam pasar raya dan ada juga pelanggan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Beliau berkata, terdapat warga asing terbabit yang cuba melepaskan diri daripada dengan memberi alasan pasport dan permit kerja disimpan majikan.

Namun katanya, alasan berkenaan tidak diterima pakai selagi tiada bukti dikemukakan dan akhirnya menyebabkan mereka ditahan.

Pihak polis menahan dan melakukan pemeriksaan terhadap warga asing yang bekerja dan menjadi pelanggan di sebuah pasar raya di bandar Kota Tinggi, hari ini.

Menurutnya, selain cuba melarikan diri, terdapat PATI yang cuba menyorok tetapi berjaya ditangkap.

Hussin berkata, antara kesalahan dikesan adalah di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas permit yang sah, Seksyen 15(1) akta sama kerana tinggal di Malaysia lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat sah ditetapkan.

Tambahnya, semua warga asing yang ditahan akan ditempatkan di Depoh Imigresen Setia Tropika di Johor Bahru untuk siasatan lanjut.- MalaysiaGazette