Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad

BATU PAHAT – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) telah memperkasakan Skuad Waja untuk meningkatkan lagi kesedaran awam tentang keganasan terhadap wanita.

Pemerkasaan itu dijalankan melalui Program Semarak Skuad Waja yang melibatkan para ketua komuniti sebagai sukarelawan.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, penubuhan Skuad Waja bertujuan untuk mengukuhkan komuniti melalui program psikososial dan pelaksanaan pelbagai aktiviti.

“Skuad Waja merupakan satu inisiatif untuk menambah pengetahuan wanita berkaitan perundangan, modus operandi jenayah serta tindakan yang perlu diambil untuk melahirkan golongan wanita bersifat waja, berdikari, berani dan peka.

“Sejak penubuhan, Skuad Waja telah mengumpul seramai 332.,840 ahli yang terdiri daripada 257,638 orang wanita (77.4%) dan 75,202 orang lelaki (22.6%) lelaki.

“Malahan untuk negeri Johor sahaja, terdapat 24,232 orang ahli yang terdiri daripada 22,130 wanita dan 2,102 lelaki,” katanya ketika merasmikan Program Semarak Skuad Waja 2024 bertempat di Hotel Katerina di sini hari ini.

Noraini menambah, seramai 72,942 individu juga telah disantuni di seluruh negara dan di sini, seramai 12,061 individu telah disantuni melalui program psikososial Skuad Waja.

Program itu merupakan satu program yang sinonim dengan Skuad Waja untuk menyantuni masyarakat dan komuniti. – MalaysiaGazette