Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut manakala seorang lelaki melecur di bahagian tangan kanan dalam kebakaran sebuah unit rumah di aras bawah flat lima tingkat di Garden Tour Apartment, Taman Lembah Maju, Ampang malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, wanita tempatan berusia 28 tahun itu maut akibat badannya melecur kira-kira 80 peratus.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada 9.46 malam dan sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah bergegas ke lokasi kejadian.

“Lelaki yang cedera dihantar ke Hospital Ampang dengan jentera EMRS manakala mangsa wanita telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan.

Punca kebakaran sedang disiasat.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya  masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti motif kejadian dan mengesan jika terdapat sebarang elemen elemen jenayah lain yang berlaku didalam kejadian ini.

Kes disiasat bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan api terhadap harta benda kerana disyaki mangsa melakukan khianat sehingga menyebabkan kebakaran manakala satu kertas siasatan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) turut dibuka bagi siasatan yang melibatkan mangsa yang telah meninggal dunia.

Seksyen 435 Kanun Keseksaan jika disabitkan kesalahan yang membawa hukuman penjara antara 7 hingga 20 tahun serta denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette