Akmal Nasir diberi penerangan kemajuan projek menambah baik Pasar Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan mengambil langkah mitigasi sekiranya keadaan cuaca panas dan kering berlarutan hingga menjejaskan kapasiti bekalan air di empangan.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, antara inisiatif yang boleh diambil termasuk pengoperasian bekalan air disusun semula agar agihan air dapat dibekalkan kepada kawasan terjejas.

Jelas beliau, ini termasuk Operasi Pembenihan Awan (OPA) namun bergantung tertakluk dengan situasi dan juga perbincangan dengan kementerian yang lain.

“SPAN akan memantau keadaan air ini dari semasa ke semasa, bila berlaku jangkaan dari segi musim kemarau dan sebagainya, pihak SPAN akan berurusan dengan pihak operator air bagi memastikan pengurusan air itu lebih efisyen dan jugak beberapa langkah mitigasi perlu diambil.

“Cuma bila nak buat pembenihan awan ini, dia akan melibatkan agensi-agensi yang lain, jadi kita akan panjangkan perkara itu kepada pihak yang berkenaan dan perkara itu tertakluk kepada situasi dan juga perbincangan dengan kementerian yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan ke Pasar Kampung Melayu Majidee, di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan akan melaksanakan kaedah OPA di Kedah dan Perak selama tiga hari berturut-turut bermula esok.

Beliau berkata operasi itu bagi meningkatkan paras air di Empangan Bukit Merah, Perak dan Empangan Muda, Kedah untuk tujuan pertanian dan kegunaan air domestik.

“Usaha ini satu daripada usaha kerajaan menangani impak fenomena cuaca panas dan Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September 2024,” kata Zahid .

Merujuk kepada data SPAN kelmarin, peratus takungan semasa Empangan Muda ialah 9.44 peratus manakala Empangan Bukit Merah, 15.25 peratus.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, syarikat operator air yang sudah mengambil beberapa langkah mitigasi antaranya memperingatkan orang ramai mengenai penggunaan air yang lebih cekap dalam tempoh beberapa minggu ini.

“Dalam keadaan kita menghadapi pemanasan global dan sebagainya, ini adalah kesan yang memang semakin mencabar kepada sektor air terutamanya bila keadaan itu bertambah ekstrem yang berpandangan.

“SPAN akan sentiasa berhubung dengan pihak operator air untuk melihat langkah-langkah mitigasi dan terbuka untuk berbincang dengan pihak yang berkaitan bagi mengatasi isu ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette