MELAKA – Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas ketika dalam perjalanan pulang selepas menguruskan cucunya balik dari sekolah di Jalan Bukit Beruang, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 2.35 petang itu, mangsa Aman Awang Ngah, 70, yang juga pesara hospital meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC datang dari dari arah lampu isyarat Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menuju ke rumahnya di Bukit Beruang.
“Warga emas berkenaan sebelum itu menguruskan cucunya balik dari sekolah di Ayer Molek sebelum dipercayai terbabas dan jatuh berhampiran pembahagi jalan konkrit di selekoh Jalan Bukit Beruang.
“Akibatnya, mangsa cedera parah di kepala dan disahkan maut di lokasi nahas oleh petugas perubatan ditempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Menurutnya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan meminta saksi bebas yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette