Cheryl (tengah) bersama-sama penerima anugerah sempena Majlis Ikon Alumni yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan UMT.

KUALA NERUS – Alumni Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Cheryl Rita Kaur Dalbir Singh telah dinobatkan sebagai Ikon Siswa Unggul UMT dalam Majlis Anugerah Ikon Siswa 2024, baru-baru ini.

Pengiktirafan itu diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian cemerlang dan sumbangan signifikan yang telah dicurahkan dalam bidang akademik serta aktiviti kokurikulum sepanjang tempoh pengajiannya serta sumbangannya kepada negara
khususnya dalam bidang maritim.

Graduan Sarjana Muda Biologi Marin (Kepujian) pada tahun 2005 itu telah menunjukkan kecemerlangan yang konsisten dalam akademik dan kokurikulum serta mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak sepanjang 18 tahun perjalanan karier sebagai felo
dan ketua penyelidik di Institut Maritim Malaysia (MIMA).

Selain itu, penerima dana program Diploma Programme in Finland dibawah United Nations Development Programme (UNDP) itu turut dilantik sebagai panel pakar R, D & C oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta sebagai speaker bagi persidangan
antarabangsa.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dalam ucapanya menekankan kepentingan pencapaian serta pengiktirafan bagi memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha dalam mencapai kecemerlangan.

“Majlis Anugerah Ikon Siswa bukan sahaja menghargai kecemerlangan akademik, tetapi juga penglibatan aktif dalam komuniti dan negara,” katanya.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan penambahan sebanyak tiga kategori anugerah baharu iaitu Ikon Alumni Staf UMT, Ikon Alumni Dermawan, dan Ikon Alumni Harapan.

Dr Zamri berkata, kehadiran ramai alumni juga menjadi platform yang baik untuk jaringan dan perkongsian idea antara generasi terdahulu dan alumni baharu.

“Pengiktirafan yang diberikan kepada penerima anugerah malam ini diharap akan menjadi pembakar semangat kepada semua pelajar UMT untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.

“Majlis Anugerah Ikon Siswa ini jelas menunjukkan komitmen UMT dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berintegriti, berdaya saing dan berwawasan,” katanya. – MalaysiaGazette