PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengeluarkan garis panduan penggunaan selimut pemadam api kenderaan elektrik (EV) atau fire blanket di semua tempat pengecasan elektrik di seluruh negara.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, garis panduan fire blanket bersama Plan Malaysia itu telah dilaksanakan pada versi pertama yang kemudiannya dilakukan pindaan baharu pada 25 Jun lalu.
“Untuk fire blanket ini kita telah keluarkan arahan dan ia perlu ada di semua pusat pengecasan tetapi dalam bangunan seperti pusat membeli-belah buat masa ini masih belum ada lagi.
“Dulu setiap pusat pencegasan yang mempunyai tiga stesen perlu ada sekurang-kurangnya satu fire blanket untuk versi arahan pertama tapi kini perlu ada 10 fire blanket,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Pencegahan Lemas Sedunia pada Majlis Perhimpunan Bulanan di ibu pejabat JBPM, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, sebahagian besar bangunan mempunyai Sistem Semburan Air Automatik (Sprinkle) yang melibatkan kira-kira 8,000 bangunan.
“Kita yakin terdapat beberapa bangunan seperti kondominium akan mengadakan pusat pengecasan EV ini di kawasan luar bangunan yang tidak mempunyai sprinkle.
“Jadi dengan arahan yang ada ini, kita tetapkan syarat supaya fire blanket akan diletakkan di bilik kawal keselamatan.
“Sekiranya berlaku sebarang kebakaran melibat EV, pengawal keselamatan yang terlatih atau pasukan tindakan kecemasan (ERT) akan menggunakan fire blanket ini bagi mengawal kebakaran,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, tahap ketahanan fire blanket yang akan digunakan adalah 1,600 darjah celcius dnegan berat dianggarkan 39 kilogram (KG). – MalaysiaGazette