KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menetapkan 29 Oktober ono bagi keputusan permohonan semakan kehakiman yang difailkan ibu bapa mendiang Teoh Beng Hock.
Ibu bapa Beng Hock sedang cuba mendapatkan perintah mahkamah supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka, 14 tahun lepas.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sepatutnya memberi keputusan beliau hari ini namun mahkamah terus mendengar hujahan lisan sehingga petang tadi.
Pada 4 Januari 2022, ibu bapa mendiang iaitu Teoh Leong Hwee, 75, dan isterinya, Teng Shuw Hoi, 70, memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.
Mereka kemudian berjaya memperoleh kebenaran mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman pada Jun 2022.
Pasangan itu memohon deklarasi bahawa kegagalan responden pertama, kedua dan ketiga untuk melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka dalam jangka masa munasabah telah melanggar Seksyen 20(3) Akta Polis 1967.
Beng Hock ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.
Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terlibat dalam kematiannya.
Pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya akibat membunuh diri.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali pada 5 September 2014.
Hari ini, peguam mewakili pasangan itu, Ramkarpal Singh melahirkan harapan keputusan kes itu akan memberi pengadilan kepada keluarga mendiang setelah sekian lama. – MalaysiaGazette