Lebih 30 peratus peningkatan kemasukan pelajar baharu ke Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) direkodkan bagi sesi akademik satu untuk 2024/2025.

KUALA LUMPUR – Lebih 30 peratus peningkatan kemasukan pelajar baharu ke Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) direkodkan bagi sesi akademik satu untuk 2024/2025.

Pengarahnya, Zainah Rujihan berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,033 pelajar baharu telah mendaftar pada hari pertama sesi pendaftaran.

Katanya, ia dijangka akan meningkat berdasarkan statistik UPU yang menunjukkan seramai 1,288 setuju menerima tawaran.

“Peningkatan tersebut mencerminkan politeknik sebagai institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) semakin menjadi pilihan dan diyakini oleh para pelajar serta ibu bapa.

“Ia merupakan satu lonjakan yang besar selaras dengan hasrat kerajaan. Justeru, saya berharap para pelajar sekalian ambillah peluang ini dan belajar dengan bersungguh- sungguh, rebut segala peluang dan ruang yang kita sediakan di sini”, katanya selepas menyaksikan proses pendaftaran di Dewan Al Jazari, di sini, hari ini.

Puteri Adriana Batrisyia Mohd Zulkulnain antara pelajar OKU yang berdaftar di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA).

Bagi Puteri Adriana Batrisyia Mohd Zulkulnain,18, yang ditemui berkata, dia memilih program Diploma Pemasaran kerana minat terhadap bidang perniagaan dan pemasaran terutamanya menerusi platfrom e-dagang.

Dia yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal turut memaklumkan, kekurangan fizikal bukanlah halangan untuknya berjaya.

“Politeknik ini bagus, dari segi peluang pekerjaan luas selain akademik yang berkualiti. Saya rasa teruja sangat dapat masuk ke PSA dan disambut dengan mesra.

“Pesan saya pada semua dan diri saya sendiri, buatlah yang terbaik walaupun ada kekurangan. Yang penting jangan berhenti menjadi pelajar,” ujarnya.

Sementara itu ibunya, Wan Hasimazlinda Wan Mazlan,41, berkata, dia  bersama keluarga memilih politeknik kerana yakin dengan institusi tersebut di samping graduan yang mudah mendapat pekerjaan.

“Kami berbincang sebenarnya sebab dia mendapat tawaran ke tingkatan enam tapi kami lebih memilih politeknik.” jelasnya.

Semua pelajar baharu yang mendaftar di PSA perlu menjalani Minggu Haluan Siswa (MHS) selama seminggu sebelum kelas bermula.

Pelajar baharu wajib menjalani MHS yang berkonsepkan orientasi sebagai proses persediaan dan pendedahan mengenai alam pendidikan, budaya dan aspek pembinaan sahsiah di politeknik. – MalaysiaGazette