MELAKA – Dua lokasi banjir kilat ‘tradisi’ di Ayer Keroh di sini akan diatasi segera selepas pihak berkuasa menemui jalan penyelesaian tuntas permasalahan itu sejak lebih 10 tahun lalu.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, ia susulan perbincangan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Dua lokasi berkenaan adalah di Jalan Tun Abdul Razak berhampiran Kawasan Perindustrian Ayer Keroh dan Lebuh SPA (Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh)-MITC.
Menurutnya, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sudah mengarahkan dua agensi itu mendapatkan jalan penyelesaian segera untuk menoktahkan isu banjir kilat di dua lokasi ‘tradisi’ itu sejak sekian lama.
“Antara puncanya adalah kerana dua kawasan ini laluannya adalah di lembah (rendah) jadi air di kawasan kilang semua turun ke situ dan dalam masa sama longkang sedia ada pun sudah tak mencukupi untuk menampung air yang banyak.
“Kajian akan dilakukan bagaiamana kita dapatkan satu solusi tuntas yang melibatkan pelbagai disiplin, PBT yang bertanggung jawab terhadap longkang dan JKR untuk jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Penyerahan Sumbangan Bot Penyelamat kepada Balai Polis Tanjung Minyak di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Bahagian Logistik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah Asisten Superintenden Noorizan Othman dan Ketua Balai Polis Tanjung Minyak Sarjan Mejar Yusli Nadir.
Mengulas lanjut Rais berkata, pihaknya juga sedang menunggu perincian lanjut daripada PBT dan JKR mengenai anggaran kos perbelanjaan mengatasi banjir kilat di dua lokasi berkenaan.
“Ia mungkin melibatkan kos yang besar sebab ia memerlukan perancangan yang teliti kerana kawasan ini kerap berlaku banjir kilat sejak sekian lama jika hujan lebat sekitar dua atau tiga jam.
“Tentunya kita juga tidak mahu sampai berlaku kehilangan nyawa sebab itu masyarakat diharapkan tidak cuba meredah bah sekiranya berlaku banjir kilat di kawasan ini,” katanya. – MalaysiaGazette