PUTRAJAYA – Sebanyak 49 buah motosikal dan kenderaan pacuan empat roda disita dalam operasi Samseng Jalanan di sekitar kawasan Kajang Utama, Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Naazron Abdul Yusof berkata, dalam operasi itu sejumlah 75 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Mereka yang diperiksa pada operasi khas ini berusia lingkungan 15 hingga 25 tahun dan kebanyakan kesalahan yang dikesan tiada lesen memandu.
“Susulan itu, sebanyak 40 buah motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan ubah suai motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas beliau, orang ramai terutama ibu bapa diingatkan untuk memantau tingkah laku anak-anak agar tidak terpengaruh dengan gejala tidak sihat.
“Pengguna jalan raya diminta mematuhi undang-undang lalu lintas dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti lumba haram atau menjadi samseng jalanan,” katanya.
Terdahulu, operasi itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Kajang menjalankan operasi itu pada jam 6 petang. – MalaysiaGazette