Buah gac, atau nama saintifiknya Momordica cochinchinensis.

SINTOK – Seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menghasilkan minuman kesihatan berasaskan buah gac.

Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) itu dijalankan oleh Prof. Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik mencatatkan satu lagi kejayaan apabila kajian beliau mengenai buah gac berjaya dikomersilkan ke dalam industri pembuatan minuman kesihatan.

Buah gac, atau nama saintifiknya Momordica cochinchinensis, dikenali kerana kandungan Lycopene dan Beta-Carotene yang tinggi serta manfaat kesihatannya yang pelbagai terutamanya untuk kesihatan mata.

Penyelidikan Dr. Risyawati menumpukan kepada penghasilan minuman kesihatan yang mampu memberikan pelbagai manfaat kesihatan, termasuk membantu meningkatkan sistem imun, membantu melindungi mata, dan menambahbaik kesihatan kulit.

R&D ke atas buah gac dijalankan oleh Dr. Risyawati sejak 2017, menghasilkan formula unik yang memaksimumkan khasiat ekstrak daripada buah gac tanpa mengorbankan rasa atau kualiti minuman tersebut.

“Produk ini bukan sahaja menawarkan rasa yang sedap tetapi juga berkhasiat yang banyak manfaat untuk kesihatan, menjadi pilihan utama bagi mereka yang mementingkan gaya hidup sihat,” katanya.

Dr. Risyawati menumpukan kepada penghasilan minuman kesihatan yang mampu memberikan pelbagai manfaat kesihatan.

Selain daripada inovasi hasil penyelidikan ke atas buah gac, Dr. Risyawati juga telah menghasilkan pelbagai prototaip makanan, minuman, makanan haiwan dan produk kosmetik hasil daripada penyelidikan beliau sejak enam tahun lalu.

Memenangi pelbagai anugerah sejak 2018, penyelidikan Dr. Risyawati ke atas buah ini turut mengetengahkan inovasi tujuh produk kosmetik yang belum dikomersilkan lagi.

Anak kelahiran Dato Kayaman, Perlis ini merupakan pemegang 66 intellectual properties(IP) termasuk tiga paten melalui kerja penyelidikan dan R&D.

Katanya, penyelidikan ini mendapat perhatian daripada pelbagai syarikat dalam industri makanan dan minuman.

Sebuah syarikat minuman kesihatan bersedia untuk mengkomersilkan produk ini.

“Pihak industri menyambut baik kolaborasi ini untuk terus bekerjasama dengan para penyelidik dalam mengembangkan produk inovatif berasaskan bahan-bahan semula jadi dan produk ini bakal berada di pasaran tidak lama lagi,” ujarnya.

Rockherbs Industry Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat yang berpusat di Perlis mengkhusus dalam pengilangan dan pemasaran produk kesihatan dan kecantikan berasaskan herba semula jadi. – MalaysiaGazette