KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan telah menahan dua anggotanya kerana disyaki terlibat melakukan pemerasan terhadap orang awam di Jalan Taming Sari dekat Kajang baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua anggota terbabit bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Katanya, satu kertas siasatan dibuka bagi menyiasat kes itu dibawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
“Polis Kontinjen Selangor mengesahkan ada menerima satu laporan polis daripada satu pengadu lelaki bukan warga negara berhubung satu video tular di laman media sosial yang memaparkan kejadian pemerasan wang oleh dua orang awam.
“Jika sabit kesalahan (tertuduh) boleh dihukum penjara selama 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua daripada hukuman tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hussien, kedua-dua suspek direman bermula hari ini hingga esok untuk siasatan lanjut.
Tegas beliau, pihaknya tidak akan melindungi mana-mana pegawai polis atau anggota peringkat rendah yang terlibat dalam kesalahan jenayah.
Ujarnya, siasatan akan dilakukan sepenuhnya mengikut jenayah yang dilakukan tanpa kompromi. – MalaysiaGazette