Pistol yang dirampas polis dalam serbuan di Sungai Bakap semalam.

NIBONG TEBAL – Polis menahan empat lelaki dan merampas tiga pucuk pistol bersama sejumlah peluru menerusi serbuan berasingan di sekitar Sungai Bakap di sini, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kesemua suspek yang ditahan itu dikehendaki selepas terlibat dalam pergaduhan di negeri ini pada 13 Jun lalu.

Jelas beliau, tangkapan pertama membabitkan suspek berusia 27 tahun di Juru sebelum membawa kepada penahanan tiga lagi berusia antara 19 hingga 24 tahun.

“Hasil pandu arah salah seorang suspek ke rumahnya di Sungai Bakap telah membawa kepada penemuan dua pucuk pistol angin jenama WE Tactical bersama kelopak tanpa peluru.

“Turut dijumpai bersama adalah masing-masing satu kelopak jenama BBloader Made in China, botol tertera tulisan Green Gas dan bungkusan galas bebola plastik berwarna putih.

“Susulan itu, bertindak atas maklumat suspek, polis menyerbu sebuah pejabat di Kampung Baru Valdor di sini, sebelum merampas sepucuk pistol jenis Glock tertera tulisan Austria, peluru tertera tulisan WCC 17, tiga peluru S&B Auto 45 dan peluru PMC Auto 45,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, hasil semakan lanjut mendapati salah seorang daripada suspek itu memiliki rekod lampau berkaitan dadah.

“Kesemua mereka direman selama lima hari bermula semalam sehingga 1 Ogos bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat), Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette