Menteri Pengangkutan, Anthony Loke meninjau status terkini projek LRT3 laluan Shah Alam di Stesen Pasar Jawa, Klang. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JULAI 2024

KLANG – Jemaah Menteri bersetuju untuk mengembalikan skop asal projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) termasuk penambahan lima stesen yang digugurkan oleh pentadbiran terdahulu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pengembalian skop asal LRT3 itu melibatkan kos tambahan mencecah RM3.8 bilion.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Julai lalu telah pun bersetuju untuk mengembalikan semula skop projek LRT3 dari Bandar Utama ke Johan Setia.

“Ia melibatkan lima stesen LRT3 termasuk Tropicana, Temasya, Raja Muda Bukit Raja dan Bandar Botanik,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke tapak projek LRT3 di Stesen Pasar Jawa, di sini.

Menurut Anthony, selain penambahan lima stesen, Jemaah Menteri juga telah bersetuju untuk mengembalikan beberapa perolehan dan pembinaan fasiliti berkaitan LRT3.

“Antaranya pembelian tambahan tujuh set tren tujuh gerabak, pembesaran depoh tren di Johan Setia.

“Selain itu Jemaah Menteri juga bersetuju bagi pembelian 150 bas pengantara elektrik serta pembinaan dua depoh bas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast