Wanita ditemui rentung dalam sebuah pangsapuri di Taman Lembah Maju, Ampang, Selangor. Foto Ihsan JBPM Selangor

KUALA LUMPUR – Akibat terhidup asap berlebihan dan luka kebakaran menjadi punca seorang wanita ditemui rentung dalam sebuah pangsapuri di di Taman Lembah Maju, Ampang, Selangor pada 27 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, punca kematian mayat mangsa berusia 28 tahun itu dikenal pasti hasil bedah siasat di Unit Forensik Hsopital Tuanku Mukhriz, Cheras, hari ini.

“Manakala mangsa lelaki berusia 37 tahun yang mengalami kecederaan masih lagi dirawat Hospital Ampang dan belum sedarkan diri.

“Seramai lapan orang yang juga saksi kejadian sudah dipanggil dan dirakam keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Mohd Azam, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian dan mengesan jika terdapat sebarang elemen jenayah lain.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan seorang wanita rentung, manakala mangsa lelaki melecur dalam kebakaran sebuah unit pangsapuri di Taman Lembah Maju, kelmarin.

Pihak polis juga telah membuka kertas siasatan khianat dan kematian mengejut (SDR). – MalaysiaGazette