Pengerusi Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. yang juga merangkap Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berucap dalam majlis perasmian penutup program semalam.

KUALA LUMPUR – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di bawah Fakulti Pengkomputeran & Multimedia (FCOM) dan Institute Graduate Studies (IGS) telah menganjurkan sebuah program iaitu UPTM Edu Fair: Empowering Nation Towards IR 5.0.

Program tanggungjawab sosial universiti (USR) itu diadakan sejak 9 pagi hingga 2 petang di Dewan Gemilang, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Serting, Negeri Sembilan semalam.

Menurut Pengerusi Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd., Datuk Shamsulkahar Mohd Deli, program bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat terutama di  Jempol akan pentingnya peluang pendidikan di UPTM.

“Kami turut mengadakan Knowledge Transfer Program (KTP) untuk meningkatkan kesedaran ancaman penipuan dalam talian.

“Program ini diharapkan dapat menjadi landasan maklumat kepada masyarakat Jempol untuk sama-sama merasai betapa pentingnya landasan maklumat dalam pekerjaan dan kehidupan seharian.

“Kolaborasi panjang di antara pihak universiti dan masyarakat Jempol juga akan terus terjalin untuk memberi pendedahan mengenai program pengajian yang ditawarkan di sini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Jempol dalam majlis perasmian penutup program berkenaan.

Selain itu, program ini turut disertai beberapa buah sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Jempol seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Serting, SMK Batu Kikir, para pelajar tingkatan lima dari MRSM Serting dan masyarakat setempat daripada 36 buah tanah rancangan Felda.

Aktiviti lain yang diadakan adalah taklimat pemasaran daripada cawangan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), cabutan bertuah serta penyerahan surat tawaran kepada para pelajar SPM dan STPM yang layak sambung belajar di UPTM. – MalaysiaGazette