KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan mendakwa Kerajaan Perpaduan sebagai paling diktakor dalam sejarah pemerintahan negara.
Peguam tersebut meluahkan rasa kesal apabila kerajaan bukan sahaja tidak memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 tetapi sebaliknya memperkenalkan perlesenan baharu.
“Saya tidak pernah terfikir akan melihat hari apabila kerajaan pimpinan PH yang hidup di atas platform memperjuangkan pemansuhan PPPA sebaliknya akan mengekalkannya dan mengenakan undang-undang pelesenan baru.
“Kerajaan Perpaduan kini kami boleh dinobatkan sebagai kerajaan paling diktator yang pernah kita ada. Syabas!” kata Ambiga di X.
Kenyataan penyokong kuat Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang itu dipercayai merujuk kepada pengumuman semua media sosial dan perkhidmatan mesej internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar mesti memohon lesen.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan bahawa langkah itu akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2025, berikutan pengenalan rangka kerja kawal selia baharu untuk perkhidmatan media sosial dan pemesejan internet mulai 1 Ogos.
Langkah itu akan dikuatkuasakan melalui Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).-MalaysiaGazette